Sunday, August 21, 2011

Tips Membeli Blackberry


Memandangkan Blackberry tengah hot seperti ayam uncle bob jadi banyaklah penipuan dilakukan untuk mandapat keuntungan. Aku sebagai pengguna BB rasa bertanggungjawab untuk kongsi tips bersama anda semua supaya tidak ditipu. Kurang pengetahuan tentang Blackberry bagi mereka yang baru pertama kali nak beli Blackberry adalah golongan yang paling banyak ditipu oleh cina-cina sungai wang.

1. Jangan sesekali beli Blackberry AP set.
Penjual-penjual Blackberry ni dengan mulut manis selalunya akan cadangkan kita membeli Blackberry AP set sebab mereka untung besar. Mereka akan yakinkan kita dengan membandingkan antara AP set dan Brightstar tiada beza kecuali warranty sahaja lain sambil cuba meyakinkan lagi dengan mengatakan Blackberry AP set ini adalah Blackberry baru dan harga AP set lebih murah dari Blackberry Brightstar dalam RM50-200. PERHATIAN kepada anda semua jangan sesekali terpedaya dengan cakap-cakap penjual, Blackberry AP set terlalu banyak bezanya dengan Blackberry Brightstar. Untuk pengetahuan anda semua Blackberry AP set adalah Blackberry terpakai yang dibeli dari luar negara atau dalam negara (dah macam harta Ismed Ulam Raja) dan digantikan dengan cover baru sebelum dijual semula dengan kotak, nombor siri yang sama ditampal pada kotak dan lengkap segala aksesori pada harga baru. Mungkin anda akan rasa untung kerana dapat berjimat dalam RM50-200 jika membeli AP set tapi sebenarnya anda dah rugi beribu ringgit.

2. Blackberry AP set menggunakan barangan tiruan.
Jika anda membeli Blackberry AP set segalanya adalah barangan tiruan seperti cover tiruan, qwerty keyboard tiruan, trackpad tiruan, charger tiruan, bateri tiruan, earphone tiruan dan telefon pula sudah digunakan mungkin ada beberapa kerosakan sama ada sudah dibaiki dengan komponen tiruan atau tidak dibaiki langsung. Segala barang-barang ini cepat rosak dan tak sama kualiti seperti yang original. Jika dikira setiap barangan tiruan ini anda hendak gantikan dengan membeli barangan original secara berasingan sudah pasti boleh mencecah ribuan ringgit.
Perbezaan wayar dan print pada charger tiruan AP set (kiri) dan original Brightstar (kanan)


3. Brightstar Pilihan Yang Tepat
Brighstar adalah pengedar sah Blackberry di Malaysia. Segala aksesori adalah original dan telefon belum digunakan lagi bermakna anda adalah pemilik yang pertama. Walaupun harga mahal sedikit tetapi terjamin 100% baru dan original. Selain itu anda boleh membeli BlackBerry daripada Celcom atau Digi.

4. Jangan Bayar Dahulu
Semasa hendak membeli penjual selalunya meminta bayaran dahulu sebelum mereka mengambil telefon di tempat lain jadi aku nasihatkan selagi telefon tiada depan mata jangan bayar walaupun sesen kerana anda tidak dapat nak periksa untuk pastikan apakah keadaan telefon itu. Sudah bayar jangan harap nak dapat duit balik, yang anda akan dapat cuma alasan bodoh dari mereka saja. Ingat COD ok.

5. Periksa Buyer's Remorse Untuk Pastikan Itu Blackberry Baru Yang Belum Di Gunakan Lagi
Cara-cara untuk periksa bagi OS5 pergi ke Option > Status
Cara untuk periksa bagi OS6 pergi ke Option > Device> Device & Status Information.
Dekat sini memang tak ada tunjuk data usage dan voice usage jadi sila taip BUYR dan segalanya akan terpamir. Tekan satu-satu B U Y R tak perlu tekan serentak huruf-huruf tu.
Paparan untuk OS5 telefon masih belum digunakan lagi data usage dan voice usage masih kosong

Data Usage dan Voice Usage yang sudah digunakan bermakna itu bukan telefon baru

Paparan untuk OS6

Ok itu saja tips-tips yang paling penting sekali untuk anda semua. Sebenarnya banyak lagi perbezaan yang boleh aku tunjuk antara AP dan Brightstar tapi aku tak larat nak buat tu semua. Ingat pesan aku kalau nak selamat jangan la beli AP set. Aku sekadar berkongsi apa yang aku tahu untuk sama-sama tidak ditipu. Nak beli barang ribu-ribu kenalah hati-hati, duit bukan senang nak cari. Jika anda baru membeli dan berasa tertipu anda bolehlah membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menuntut ganti rugi jika boleh.

Sumber : http://asyraf-7.blogspot.com

Saturday, August 20, 2011

Software Untuk Menguruskan Kewangan & Bajet


Salam.

Posting kali ini, saya nak kongsikan software-software berkaitan pengurusan kewangan yang pernah saya guna untuk menguruskan kewangan. Ada pelbagai software yang berstatus ‘freeware’, ‘shareware’, ‘open-source’, dan ‘online’ yang anda boleh gunakan. Just google aje.

Tapi di sini, saya akan kongsikan software yang paling mudah, ringkas, senang nak guna, dan senang nak paham. Lepas cuba beberapa software, setakat ini ada 2 software yang sesuai mengikut citarasa saya.

1. Kalkulator Belanjawan (Bank Negara Malaysia)
Kalkulator ini dalam bentuk excel. Just masukkan jer jumlah pendapatan, jumlah bajet, belanja harian, dan maklumat lain. Seterusnya, anda akan mengetahui cashflow anda samada lebihan atau defisit.

Kalkulator ini lengkap menyenaraikan jenis perbelanjaan tetap dan perbelanjaan yang biasa kita lakukan, maka kita hanya perlu isi ruang yang berkaitan sahaja. Cuma, kalau ada jenis perbelanjaan yang tiada dan kita mahu tambah sendiri, tak boleh. Sebabnya kalkulator ini password-protected pada bahagian tertentu yang tidak boleh diubahsuai.
Berikut merupakan beberapa screen shot Kalkulator Belanjawan.




Anda boleh download kalkulator di sini.

Maklumat lanjut boleh lawati laman web Bank Negara Malaysia di sini.


2. dsBudget
dsBudget pula merupakan open-source software yang lebih kurang sama fungsi dengan Kalkulator Belanjawan, tapi menggunakan platform browser internet. Software ini akan dibuka melalui browser seperti Mozilla Firefox, Internet Explorer, dan Google Chrome.

Terdapat 4 bahagian utama dalam software ini (3 bahagian perlu diisi, 1 bahagian akan dikira secara automatik) iaitu:


  • Income & Deductions - untuk pendapatan bulanan & perbelanjaan yang wajib ditolak
  • Budgeting - Perancangan bajet yang kita mahukan
  • Expenses - Perbelanjaan harian yang perlu dicatat (ini memerlukan disiplin dan kesungguhan)
  • Balance - Baki samada positif (Lebihan) atau negatif (Defisit).
Kelebihan dsBudget ialah ia dapat memaparkan data yang kita masukkan dalam bentuk graf dan carta. Selain itu, kita juga bebas mengkategorikan perbelanjaan dan mengubahsuai cara paparan data mengikut citarasa sendiri.

Berikut merupakan beberapa screen shot dsBudget.





Anda boleh download software dsBudget ini di sini.
Untuk maklumat lanjut, and boleh lawati webpage dsBudget di sini.
Harap pembaca sekalian mendapat manfaat daripada 2 software tersebut.
Sebarang komen mengenai pengalaman menggunakannya atau software lain yang anda nak recommend adalah dialu-alukan.

Sekian.

Sumber : http://bijakwangbijakit.blogspot.com

Friday, August 19, 2011

Kejatuhan Pasaran Saham Semasa - Perlukah Pelabur Panik?

Sejak hari Sabtu lalu apabila Standard & Poors menurunkan kredit Rating USA daripada AAA+ kepada AA+ telah menyebabkan Market Turmoil pada Pasaran Dow Jones pabila pelabur menjual saham iaitu mengelakkan memegang aset berisiko dan memegang tunai sambil memerhatikan keadaan dari masa ke semasa. Dan apabila US batuk seluruh dunia terkena selesema. Kali ini pasaran saham KLCI jatuh melepasi tahap saikologi 1500 menuju ke tahap 1476 disebabkan oleh pelabur yang panik sebelum melantun dan ditutup pada 1498 pada hari Isnin yang lalu.

Sebenarnya pada FY ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pada bulan Mac yang lalu kejadian Tsunami dan gempa bumi juga telah 3 kali menyebabkan pasaran jatuh ke tahap 1480 ini. Satu tahap support yang agak kuat. Hakikatnya ia memberi peluang swing trade dengan membeli saham-saham pelabur-pebaur yang panik ini dan benar pada tahap 1476 pada pukul 11 pagi itu CI kembali naik lalu tutup pada tahap 1498 yang menguntungkan pelabur yang membeli pada masa itu. PChem contohnya jatuh ke tahap 6.03 tetapi ditutup pada lebih kurang 6.40, MSM pula jatuh ke tahap 4.97 tetapi melantun ke tahap 5.24.

Namun FY tidak menyarankan pelabur memegang saham pada masa ini kerana keadaan pasaran yang masih tidak menentu. Kaedah Intraday dengan pandangan hari ke hari adalah lebih baik.

Keesokan harinya, hari Selasa seperti dijangka ia berlaku lagi pabila Dow Jones jatuh setelah pricing in the downgrades news. Sekalu lagi KLCI merudum tetapi kali ini ia memecah support 1480 lantas merudum 70 mata pagi itu ke tahap 1424 dan nak tahu apa terjadi? Ia naik dan tutup ke tahap 1472. Mencecah 1482 petang itu.

Kali ini 1480 bukan lagi menjadi support tetapi telah menjadi resistance. Pada FY KLCI dikira toppish sekitar 1480 ini. Kenapa FY mengatakan demikian?

Ini kerana dengan bantuan pelabur asing KLCI meningkat hingga ke tahap tertingginya iaitu mendekati 1600 dan kalau kita tolak 10% pegangan asing yang keluar dari pasaran bagi maka 1600 tolak 160 mata maka 1440 akan menjadi tahap yang tinggal. Jadi dalam ertikata lain FY yakin KLCI akan duduk dalam range ini dengan 1500 resistancenya.

Kalau Pchem naik setinggi 7.50 maka setelah ditolak 10 % iaitu 75 sen maka fair valuenya tanpa pegangan asing menjadi 6.75 lebih kurang. Maka mereka yang mengharap kenaikan kembali ke tahap 7.50 mungkin akan terpaksa menunggu masa yang lama.

Penjualan pegangan asing ini telah mula kelihatan semenjak Jumaat lalu bila saham-saham besar yang punya pegangan asing didalamnya mula jatuh. KLK, DIGI, Genting, PetDag dll. AirAsia yang ketinggalan kerana ia disuspendkan disebabkan Caloborationnya dengan MAS. Tatkala semua saham sudah menangis AirAsia menangis pada hari Rabu walhal pasaran melakukan technical rebound pada hari tersebut. Ia jatuh dari 3.95 hingga ke tahap 3.41 sebelum naik ke 4.57 hari itu.

Kenapa pula MAS naik dan tak jatuh? MAS naik sebab dia dah lama menangis. Jatuh rock bottom hingga ke tahap 1.35 satu ketika. kalau ada pegangan asing pun ia telah lama dijual.


Buat masa ini berhati-hatilah melabur di Pasaran saham dan cuba jangan memegang saham kerana keadaan ketidak tentuan di USA, juga masalah hutang di EUROZONE mahupun masalah inflasi dai China dan India. Hit n Run adalah strategi terbaik pada saat ketidak tentuan begini.


Kepada pelabur yang memegang saham yang punya Fundamental maka janganlah panik kerana FY yakin ia akan naik kembali pada masa yang sama kejatuhan sebegini memberi peluang kita membeli saham-saham yang baik dengan harga yang lebih murah.

Sumber :
www.faizalyusup.com

Thursday, August 18, 2011

Kisah Para Jutawan

Setidaknya sekali dalam hidup – kita pernah mengimpikan untuk menjadi seorang jutawan yang mempunyai banyak wang. Apakah yang akan anda lakukan jika anda seorang jutawan? Mari kita intip beberapa orang kaya yang paling berhemah di dunia.

Warren Buffett
Jutaan orang membaca buku Buffett dan mengikuti apa yang dilaburkan syarikatnya, Berkshire Hathaway, dalam setiap gerakan di pasaran saham. Namun rahsia sebenarnya untuk kekayaan peribadi Buffett mungkin kerana tabiatnya untuk berhemah dalam perbelanjaan. Buffett, bernilai sekitar $ 47 bilion, walaupun mampu memiliki rumah mewah dan barang-barang mewah namun dia dan isterinya masih tinggal di rumah sederhana mereka di Omaha, Nebraska yang mereka beli hanya $ 31,500 semenjak lebih 50 tahun yang lalu.

Walaupun dia makan di restoran terbaik di seluruh dunia, sekiranya diberikan pilihan, dia akan memilih burger dan kentang goreng dengan Coke Ceri yang sejuk sebagai minuman. Ketika ditanya mengapa ia tidak mempunyai kapal persiaran, dia menjawab "semua ini hanya umpama rantai yang mengikat leher."

Carlos Slim
Sementara sebahagian besar penduduk dunia mengenali Bill Gates, nama Carlos Slim jarang kedengaran. Tapi anda perlu kenal dengan nama ini. Slim ialah seorang penduduk asli di Mexico dan merupakan jutawan yang terkaya di dunia – lebih tepat lagi dia lebih kaya dari pengasas Microsoft yang terkenal itu. Slim bernilai lebih daripada $ 53 bilion, dan sementara ia mampu memiliki semua kemewahan dunia tetapi dia juga sangat berhemah dalam perbelanjaannya. Dia, seperti Buffett, tidak mempunyai kapal persiaran atau kapal dan dia telah tinggal di rumah yang sama selama lebih dari 40 tahun.




Ingvar Kamprad
Beliau adalah pengasas fenomena perabot dari Sweden, Ikea. Untuk Kamprad, memikirkan cara untuk menjimat duit bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk pelanggannya, itulah prinsip peribadinya yang tertinggi. Beliau pernah berkata "Orang Ikea tidak memandu kereta-kereta mewah mahupun tinggal di hotel mewah." Kata itu kota. Kata-kata itu benar untuk pengasasnya juga. Dia menaiki kapalterbang kelas ekonomi dan ketika dia perlu pergi ke kawasan setempat di bandar, dia akan samaada menaiki bas atau memandu kereta Volvo 240 GL yang telah berusia lebih 15 tahun.


Chuck Feeney
Berdarah kacukan Ireland / Amerika dan dibesarkan di zaman kemurungan sebagai mungkin telah membentuk Feeney menjadi seorang yang berhemah. Dengan motto peribadi "saya keluar untuk bekerja keras dan bukan untuk kaya," beliau adalah salah seorang daripada pengasas syarikat Duty Free Shoppers dengan diam-diam menjadi jutawan dan dengan diam-diam juga menyumbangkan hampir semuanya melalui yayasannya, Atlantik Filantropi. Selain memberikan lebih dari $ 600 juta kepada Cornell University disamping memberikan jutaan dolar untuk sekolah, jabatan penyelidikan dan hospital.

Tidak suka membuang masa, Feeney mengalahkan baik Buffett dan Kamprad dalam kategori sumbangan, memberikan sumbangan yang kurang sedikit dari Ford dan Yayasan Bill dan Melinda Gates. Seorang pengguna pengangkutan awam, Mr Feeney juga terbang menaiki kelas ekonomi, membeli pakaian dari kedai-kedai biasa dan tidak wang tidak membazirkan wang kepada almari kasut yang luas, Katanya "Anda hanya boleh memakai sepasang kasut pada waktu". Dia mendidik anak-anaknya dengan cara yang sama, menyuruh mereka bekerja di musim panas yang sama seperti kebanyakan remaja lain.

Frederik Meijer
Sekiranya anda tinggal di Midwest Amerika kemungkinan besar bahawa anda akan berbelanja di rangkaian kedai runcit Meijer. Meijer bernilai lebih daripada $ 5 bilion dan hampir setengah dari kekayaan yang dikumpulkannya itu ialah ketika orang mengalami kemeruduman ekonomi pada tahun 2009. Seperti Buffett beliau membeli kereta yang sederhana dan memandunya selama jangkamasa hayatnya. Seperti Kamprad dia memilih motel ketika di perjalanan untuk bekerja. Juga, seperti Chuck Feeney, beliau tidak menghabiskan kekayaannya sebarangan. Mr Meijer fokus kepada kebaikan yang dapat diberikan kepada masyarakat.

Apa yang boleh saya katakan ialah mereka semua punya sifat-sifat yang disarankan Islam ;

· Membeli apa yang perlu dan bukan apa yang mereka mahu
· Tidak membuang masa
· Gigih dan rajin bekerja
· Menyumbang dan bersedekah
· Berjimat dan berhemah dalam perbelanjaan
· Melakukan amal jariah
· Bersederhana
· Membawa manfaat kepada yang ramai
· Dan lain-lain lagi.

Mungkin semua faktor-faktor inilah yang menyebabkan kekayaan mereka semakin bertambah dari masa ke semasa. Mereka sebenarnya membawa manfaat kepada yang ramai dengan memberikan peluang pekerjaan, produk dan perkhidmatan yang digunakan umum, sumbangan yang membantu sekolah, universiti, hospital dan sebagainya.

Sesungguhnya orang yang paling baik adalah orang yang membawa manfaat kepada yang ramai.

Fikir-fikirkanlah..

Apapun segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Sumber : http://www.faizalyusup.com

Wednesday, August 17, 2011

LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI KEMELESETAN EKONOMI

Krisis atau kegawatan ekonomi adalah perkataan yang sering kali kita dengar, sama ada di televisyen, radio dan juga akhbar. Pelbagai kesan krisis ini, sama ada di peringkat global ataupun tempatan yang telah kita ketahui. Bagaimana pula dengan pelaburan? Adakah kemelesetan ekonomi yang berlaku ini memberikan kesan kepada pelaburan anda. Dalam artikel ini, kita akan mengupas cara-cara yang boleh dilakukan untuk menghadapi situasi sukar seperti ini.

Bagaimana menghadapi krisis ini?

Ramai orang yang bertanya soalan ini atau soalan-soalan yang seumpamanya. Di sini, kami senaraikan antara langkah-langkah yang boleh diambil dan ianya berada dalam kawalan kita dalam menempuh kegawatan terbabit.

Urus perbelanjaan anda dengan bijak

Sebagai permulaan, kaji semula perbelanjaan anda dan kenal pasti perbelanjaan tetap dan boleh ubah. Bagi perbelanjaan boleh ubah seperti makan di tempat kesukaan atau membeli belah, anda boleh mengurangkan atau mengehadkan kekerapannya dan apa yang diperlukan adalah sedikit disiplin dan perubahan kepada aktiviti sosial anda.

Bagaimana pula dengan perbelanjaan tetap? Ia adalah perbelanjaan yang tidak boleh dielak atau dikurangkan terus untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan anda. Perkara yang selalunya dalam kategori ini melibatkan perbelanjaan besar seperti:
• Pembiayaan rumah, kenderaan atau pinjaman pendidikan
• Pembayaran insurans
• Bil-bil utiliti dan kontrak perkhidmatan seperti air, elektrik, telefon dan Internet.

Walaupun anda tidak boleh menghapuskan perbelanjaan sebegini, ada cara-cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbelanjaan dalam kategori ini.

• Jadilah pengguna bijak!

Semasa kegawatan ekonomi, Kerajaan biasanya akan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi seperti mengurangkan kadar faedah untuk menggalakkan orang ramai berbelanja. Anda boleh mendapat manfaat daripada pakej ini dengan mencari kadar yang lebih murah dan tawaran yang lebih baik untuk membiayai semula gadai janji yang ada. Terdapat pelbagai pakej yang ditawarkan oleh bank-bank perdagangan dan anda hanya perlu memilih tawaran yang terbaik, iaitu yang boleh menjimatkan kadar faedah yang dibayar. Langkah ini semestinya boleh menjimatkan wang anda dalam jangka masa panjang.

Begitu juga dengan perkara-perkara lain. Dalam suasana perniagaan yang lebih kompetitif, akan terdapat pelbagai promosi dan pakej istimewa di pasaran. Anda mesti pandai menyesuaikan diri untuk menjadi pengguna bijak. Jadikan tabiat mencari tawaran terbaik sebagai suatu amalan dan pastikan setiap ringgit yang dibelanjakan berbaloi.

• Kawal perbelanjaan anda

Ketika cuba mengurangkan kadar faedah yang dibayar dan memberi lebih nilai untuk wang, anda sepatutnya tidak lagi berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Segala usaha anda dalam berjimat-cermat akan menjadi tidak berguna jika wang tunai berkurangan dan komitmen lain bertambah. Jadi, cuba kawal perbelanjaan anda. Ingat! Hanya berbelanja untuk keperluan dan tangguhkan apa yang boleh.

• Hadkan Penggunaan kad kredit

Jika anda gemar berbelanja menggunakan kad kredit tanpa sebarang rasa bersalah, sudah tiba masanya sifat tersebut dikikis. Dengan kebanjiran pelbagai jenis kad kredit di pasaran, sudah menjadi lumrah untuk seseorang memiliki banyak kad kredit. Kad kredit memang memberi kemudahan, namun ia boleh menyusahkan jika anda tidak berdisiplin apabila menggunakannya. Dengan kad kredit, anda sebenarnya berbelanja menggunakan duit yang anda tidak ada pada masa ini. Lagi banyak anda berbelanja dan berhutang dengan bank, lagi tinggi bayaran dikenakan selepas dicampur dengan bayaran kadar faedah dan caj-caj lain.

Oleh sebab itu, bagi menguruskan perbelanjaan anda dengan lebih baik, hadkan penggunaan kad kredit kepada satu atau dua kad sahaja serta sentiasa awasi baki bulanan yang ada. Elakkan hutang kad kredit anda daripada terus bertambah dan jika boleh, jelaskan kesemua hutang kad kredit setiap bulan.

Kegagalan untuk menyelesaikan hutang kad kredit boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk. Jika anda melihat kepada bilangan orang yang telah muflis di Malaysia, anda akan dapati jumlah tersebut agak membimbangkan, tambahan pula ramai daripadanya terdiri daripada golongan muda.

• Bina simpanan duit anda

Apabila anda telah mampu menguruskan wang, besar kemungkinan anda mempunyai lebihan wang tunai. Gunakan lebihan ini untuk membina simpanan. Simpanan ini hendaklah mampu bertahan selama 6 bulan untuk menanggung perbelanjaan kehidupan seharian. Jika anda diberhentikan kerja baru-baru ini, jangan gunakan pampasan tersebut untuk mengubah suai rumah atau membeli kereta baru. Ia adalah simpanan anda. Simpan untuk waktu-waktu kecemasan. Jika anda mempunyai lebihan daripada simpanan, anda boleh ke langkah seterusnya.

• Cari peluang-peluang pelaburan yang ada
“Inside of every problem lies an opportunity” - Robert Kiyosaki

Kebanyakan orang gagal untuk melihat peluang yang ada daripada sesuatu krisis. Sebenarnya, ketika waktu yang tidak menentu seperti inilah terdapat peluang-peluang yang baik dalam pelaburan, tidak kira dalam pasaran saham, hartanah atau produk pelaburan yang lain. Oleh itu, jika anda mempunyai lebihan wang, pelajari kaedah dan cari peluang-peluang pelaburan yang ada dengan mengambil kira tahap toleransi risiko anda.

Kesimpulannya, dalam keadaan krisis sebegini, anda perlu berhati-hati dengan keputusan pelaburan yang dibuat terutamanya apabila anda melabur dengan wang hasil titik peluh dan penat lelah anda. Dengan perancangan dan disiplin diri, anda mampu untuk mengharungi apa juga keadaan ekonomi.

Dipetik dari,

SECURITIES INDUSTRY DEVELOPMENT CORPORATION (SIDC), peneraju bidang pendidikan, latihan dan sumber maklumat berkaitan pasaran modal di ASEAN, adalah cabang pendidikan dan pembangunan bagi Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia. Ia ditubuhkan pada tahun 1994 dan diperbadankan pada 2007.

Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan panduan pelaburan bijak.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...