Wednesday, July 11, 2012

Simpanan dan pelaburan

Selain daripada simpanan, satu lagi cara yang boleh membantu untuk meningkatkan jumlah nilai wang ialah pelaburan. Dalam simpanan, anda akan mendapat semula wang simpanan yang dicampur dengan faedah. Tetapi dalam pelaburan, anda mungkin atau mungkin tidak mendapat semula jumlah yang dilaburkan atau anda mungkin mendapat lebih daripada jumlah awal pelaburan. Risiko pelaburan adalah lebih tinggi daripada simpanan tetapi pada masa yang sama, anda mempunyai potensi untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi.
Merancang pelaburan anda
  1. Mengetahui tujuan pelaburan anda
    • Sebelum anda melabur, anda perlu tahu tujuan pelaburan anda. Tujuan / matlamat anda mungkin ialah untuk:
      1. Membeli kereta
      2. Membeli rumah
      3. Menghantar anak-anak anda untuk pengajian tinggi
      4. Pergi bercuti
      5. Merancang persaraan yang selesa untuk masa depan
  2. Tahu isu utama yang perlu diambil kira apabila melabur
    • jumlah wang yang perlu dilaburkan
    • tempoh pelaburan anda
    • memahami risiko yang terbabit dan tahu tahap kerugian yang anda boleh tanggung
    • ganjaran yang anda berharap daripada pelaburan anda
    • pengorbanan yang anda sanggup lakukan
    • memahami produk yang anda hendak labur
    • merancang pelaburan yang sesuai dengan portfolio keseluruhan anda
    • membandingkan pulangan bagi pelaburan lain yang sama
    • memantau prestasi pelaburan anda secara berterusan berbanding dengan keperluan anda yang berubah-ubah
    • mempunyai fleksibiliti untuk mencairkan pelaburan yang berkenaan ketika anda terdesak
  3. Tahu strategi dan konsep melabur
    • Pempelbagaian
      • jenis pelaburan yang berbeza terdedah kepada tahap risiko yang berbeza dan dengan pempelbagaian, kerugian dalam sesetengah pelaburan boleh diimbangi oleh perolehan pelaburan lain
      • pempelbagaian dapat meminimumkan risiko dan melindungi anda daripada volatiliti dalam sesuatu kelas aset atau industri
    • Nilai masa wang
      • lebih awal anda melabur, lebih besar pulangan atas nilai wang anda
      • ini disebabkan oleh prinsip faedah kompaun di mana anda memperoleh faedah atas pelaburan asal anda dan atas faedah yang telah anda peroleh daripada pelaburan anda
    • Impak inflasi dan cukai
      • inflasi menyusutkan wang nilai; wang yang anda punyai pada hari ini berkemungkinan tidak lagi mempunyai nilai yang akan membolehkan anda membeli jumlah barangan yang sama pada masa hadapan
      • walaupun anda memperoleh pulangan daripada pelaburan, nilai sebenar pelaburan anda mungkin berkurangan disebabkan oleh kesan inflasi
      • matlamat pelaburan adalah untuk menambah wang anda melebihi kadar inflasi
      • cukai juga akan mengurangkan pulangan pelaburan melainkan pelaburan anda mendapat pengecualian cukai
    • hubungan risiko dengan pulangan
      • pelaburan yang “lebih selamat” (seperti simpanan bon) bermaksud bahawa pelaburan asal anda kekal tetapi kadar pulangannya mungkin lebih rendah
      • pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lebih tinggi (seperti dana amanah saham ekuiti atau saham) juga mempunyai risiko yang lebih tinggi
  4. Tahu pelaburan mana yang sesuai untuk anda
    • sebelum anda memilih sebarang produk pelaburan, adalah penting bagi anda memahami pelaburan tersebut terlebih dahulu
    • setiap asset adalah unik dan mempunyai profil risiko pulangan yang berbeza
Mendapatkan nasihat kewangan
Terdapat banyak pihak yang menawarkan nasihat kewangan seperti bank, remisier, perancang kewangan atau ejen insurans, bergantung kepada jenis instrument pelaburan yang terlibat. Walau bagaimanapun, pilih penasihat kewangan secara berhati-hati jika anda memerlukannya. Pastikan mereka berkelayakan dan berpengalaman. Tanyakan soalan dan pastikan anda faham isu dan prosedur yang terlibat. Dapatkan pandangan pihak kedua jika anda masih ragu.
Sumber Maklumat
  • Maklumat mengenai pelaburan boleh diperoleh daripada:
  • Laporan tahunan yang diterbitkan oleh syarikat
  • Surat khabar, jurnal dan majalah
  • Internet
  • Kursus
  • Seminar
Sebelum membuat sebarang pelaburan
  • Memahami pelaburan dan risiko yang terlibat
  • Jangan terburu-buru ketika membuat keputusan. Berhati-hati terhadap taktik penjualan agresif yang memaksa anda membuat keputusan dan bertindak segera.
  • Simpan semua rekod transaksi yang dilakukan
  • Berhati-hati dengan skim yang menjanjikan keuntungan cepat pada tahap risiko yang minima atau tanpa risiko
Sumber: Bank Negara Malaysia

Monday, July 9, 2012

Masa Yang Sesuai Untuk Membuat Pelaburan 

Lazimnya pelabur yang bijak menyimpan wang yang secukupnya untuk keperluan kecemasan dan selebihnya dilaburkan untuk memaksimumkan pulangan. Untuk menentukan pelaburan mana yang sesuai dengan anda, anda perlu menilai jumlah wang yang mampu anda laburkan berdasarkan keadaan semasa kehidupan anda.
Pilih Pelaburan yang Betul
  • Matlamat dan keperluan anda - Pelaburan anda bergantung kepada matlamat anda, sama ada untuk membeli rumah, menyediakan pembiayaan untuk pendidikan anak anda atau keperluan anuiti persaraan?  
  • Umur anda ketika melabur - Ini akan menentukan berapa banyak risiko yang anda boleh ambil. Contohnya, jika anda masih muda, anda boleh membuat pelaburan yang secara relatifnya lebih berisiko tinggi
  • Pendapatan anda ketika melabur - Jika anda berpendapatan lebih tinggi, maka anda akan mempunyai wang yang lebih untuk dilaburkan.Tahap kekayaan juga mempengaruhi jenis pelaburan yang anda boleh lakukan
  • Pekerjaan anda - Contohnya, jika terdapat pelan persaraan dalam pekerjaan anda, maka anda mungkin tidak perlu pelan persaraan lain.
  • Aset anda - Jenis aset yang anda milik memberi kesan terhadap tahap risiko yang anda hadapi. Simpanan dan deposit tetap mempunyai risiko yang paling minimum dan bon serta ekuiti mempunyai risiko yang lebih tinggi.
  • Jangka masa - Bilakah anda mahu menjual aset anda? Anda perlu memastikan tempoh matang aset yang anda pilih.
  • Kecairan - Keperluan anda terhadap wang di masa hadapan. Sekiranya anda perlu menggunakan wang dalam masa 2-3 bulan terdekat, anda mungkin perlu menyimpan wang anda di dalam deposit bank yang lebih mudah dicairkan berbanding bon dan unit amanah.
  • Kesediaan menghadapi risiko - Nilai toleransi anda terhadap risiko. Sejauh mana anda boleh menghadapi ketidaktentuan pasaran?
Strategi Peringkat Hidup
Strategi peringkat hidup merupakan strategi yang lazim digunakan dalam perancangan kewangan untuk pelaburan. Pendekatan ini adalah berdasarkan kepada tempoh tertentu yang dilalui pelabur dalam hidupnya. Jadual di bawah memperjelaskan strategi berbeza yang boleh dilaksanakan seorang pelabur pada peringkat berbeza dalam hidupnya

Tahun-tahun Awal
(Sehingga awal 30-an)
Tahun-tahun Pertengahan
(30-an hingga akhir 40-an)
Menjelang Persaraan
(lewat 40an sehingga persaraan)
Setelah Persaraan
(60+)
Matlamat anda
Tahap permulaan
Mengumpul dan melabur
Kukuhkan untuk masa hadapan
Pendapatan dan jaminan sara hidup
Peringkat jangka hayat pelaburan anda
Mengumpulkan dana kecemasan
Mula melabur
Tentukan matlamat kewangan jangka pendek
Menambah simpanan
Menetapkan strategi simpanan yang mantap
Memberi perhatian kepada matlamat kewangan jangka pendek, sederhana panjang.
Memaksimumkan pelaburan
Matlamat cenderung untuk beralih kepada jangka sederhana
Melabur untuk menjana pulangan yang cukup untuk perbelanjaan hidup
Memberi perhatian kepada matlamat jangka pendek dan sederhana
Pertimbangan anda
Bila dan bagaimana untuk mula menyimpan
Simpanan perlu cair untuk memenuhi keperluan jangka pendek
Komitmen keluarga (gadai janji, perbelanjaan pendidikan anak-anak)
Mengurus pelaburan yang ada untuk mendapatkan pulangan maksimum
Mempunyai pendapatan mencukupi untuk persaraan
Pulangan terhadap pelaburan yang cukup untuk mengekalkan standard kehidupan seperti sebelum persaraan.
Strategi pelaburan anda
Mula melabur secara tetap untuk keperluan jangka pendek dan persaraan
Pelaburan
Bahagian yang lebih besar untuk pelaburan pertumbuhan
Memastikan kepelbagaian tetapi menilai semula pengagihan aset dengan mengurangkan peratusan pelaburan berisiko tinggi
Terus melabur tetapi mengubah gabungan pengagihan aset kepada aset yang lebih konservatif

Lindungi Pelaburan Anda
Sekiranya anda ingin membuat sebarang pelaburan, perkara utama yang perlu anda lakukan ialah benar memahami sepenuhnya tentang pelaburan yang akan dibuat serta risiko yang terlibat, dan apabila anda berurusan dengan penasihat kewangan, pastikan mereka benar berkelayakan serta berpengalaman dan tidak terlibat dengan sebarang penipuan kewangan. Jangan terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan dan pilihan berkaitan pelaburan tanpa perancangan yang teliti terlebih dahulu.
Berikut ialah amalan yang boleh anda gunapakai untuk membantu anda dalam mengurangkan risiko yang dihadapi: 
  • Jangan meminjam untuk melabur
  • Jangan melabur hanya untuk mendapatkan pulangan yang tinggi dan cepat (contohnya skim cepat kaya)
  • Jangan melabur dalam pelaburan berisiko tinggi kecuali anda sudah bersedia Jangan melabur berdasarkan 'hot tips' dan khabar angin
  • Dapatkan maklumat daripada sumber yang dipercayai, seperti laporan syarikat, media, kursus dan seminar
Sumber : bankinginfo

Friday, July 6, 2012

Bagaimana Plan Kewangan Kita untuk Mengerjakan Haji?

Berita ini sungguh mengharukan.

 

Jika kita ada duit membeli rokok, ada duit melanggan Astro maka tidak ada alasan untuk tidak menabung untuk menunaikan haji.

Astro: RM 50  x 12 bulan = RM 600.
Rokok: RM 50 x 12 bulan = RM 600.
RM 1,200 x 10 tahun = RM 12,000 dalam Tabung Haji.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, lagi-lagi kalau kemahuan itu adalah sesuatu yang mulia seperti menunaikan fardhu haji, pasti Allah mudahkan

Wednesday, July 4, 2012

 Petanda Masalah Kewangan

Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini, ianya membuka ruang untuk kita memikirkan semula bebanan hutang yang perlu diuruskan. Tanpa perancangan dan pengurusan kewangan yang bijak pastinya memeningkan kepala.

PENGURUSAN KEWANGAN

Mendisiplinkan diri dalam segenap aspek perbelanjaan atau pengurusan kewangan adalah penting bagi mengelak daripada dibelenggu masalah kewangan.

Tidak cukup dengan masalah itu, kita dibebani pula dengan hutang keliling pinggang. Bayaran bulanan seperti pinjaman kereta, kad kredit dan rumah gagal dijelaskan mengikut waktu.

Jika berdepan masalah seperti itu ia adaah petanda anda memerlukan bantuan pakar perancangan bagi membantu menguruskan kewangan anda.

Adalah lebih baik jika mengetahui anda awal yang menunjukkan anda tidak mempunyai perancangan kewangan yang baik.

tips pengurusan kewangan

Jika anda mempunyai tanda seperti dijelaskan di bawah, anda perlu mendapatkan bantuan pakar bagi menguruskan kewangan anda.

1. Selalu bertengkar dengan pasangan berhubung soal wang.

Jika anda sering bertengkar dengan pasangan mengenai soal ketiadaan atau kekurangan wang, ini adalah satu tanda bahawa anda sedang menghadapi kesulitan kewangan. Jika masalah kewangan ini tidak ditangani dengan bijak, ia mungkin membawa kepada lain-lain masalah dalam rumah tangga termasuk perceraian.

2. Nisbah hutang lebih tinggi daripada pendapatan.

Peraturan wajib yang perlu diikuti adalah kita perlu mengehadkan semua tanggungjawab hutang kita hanya kepada kira-kira-kira satu pertiga daripada pendapatan atau gaji bersih yang diterima setiap bulan.

Gaji bersih bermakna selepas ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cukai pendapatan, Perkeso dan sebagainya.

Ini bermakna jika gaji bersih sebulan adalah RM3,000 , maka pembayaran semula pinjaman kereta, rumah dan lain-lain pinjaman jika ada tidak boleh melebihi RM1,000 sebulan.

Ini bermakna mereka mempunyai kurang separuh daripada pendapatan yang boleh digunakan bagi perbelanjaan lain dan untuk perbelanjaan membesarkan anak-anak.

Bagaimana pula dengan perbelanjaan untuk tujuan lain seperti melancing, hiburan, makan di luar dan lain-lainnya? Kemungkinan besar bagi perbelanjaan untuk perkara berkenaan mereka terpaksa berhutang terutama dengan menggunakan kad kredit atau pinjaman peribadi atau kedua-duanya sekali.

3. Menggunakan had kad kredit sehingga maksimum.

Jika anda mendapati baki kad kredit anda semakin tinggi setiap bulan, ia adalah satu amaran bahaya. Jika perkara ini tidak diteliti, anda akan mencapai ke tahap maksimum kad kredit anda tidak lama lagi. Jika ini berlaku, kita akan mula mencari peluang untuk memohon kad kredit yang kedua dan ketiga yang seterusnya menyebabkan hutang kad kredit anda terus menggunung.

4. Hanya membayar bayaran minimum.

Satu lagi tanda yang menunjukkan anda menghadapi krisis kewangan adalah apabila hanya membayar sejumlah minimum kad kredit. Baki kad kredit itu selalunya akan menyebabkan anda dikenakan caj faedah 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun.

5. Selalu menangguhkan pembayaran bil bulanan boleh menyebabkan hutang makin tertunggak.

Membayar bil lewat akan menyebabkan anda dikenakan caj penalti dan sebagainya. Ini akan menambahkan lagi beban kewangan anda.

6. Terlalu banyak berhutang dengan saudara atau rakan.

Satu petanda yang menunjukkan anda tidak mempunyai disiplin kewangan adalah apabila sanggup meminjam daripada orang lain terutama kawan atau saudara-mara sendiri untuk membeli sesuatu barang yang sebelum ini akan membayar dengan tunai.

7. Tidak dapat tidur malam.

Ini adalah satu ujian untuk menunjukkan sama ada anda mengalami masalah kewangan atau tidak. Tanyakan diri sendiri adakah anda dapat tidur nyenyak setiap malam atau tidur terganggu kerana memikirkan hutang keliling pinggang.

8. Tidak dapat mengumpul wang secara sistematik biarpun mencuba bertahun-tahun

Sekiranya berjaya menyimpan, ada sahaja alasan menghabiskan wang.

Salah satu caranya adalah dengan berjumpa kaunselor kewangan atau mendapat khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Monday, July 2, 2012

Melabur Tanpa Rugi?

 

Jika anda berhasrat untuk melabur atau telahpun melabur dan anda berpendapat anda tidak mahu rugi dalam pelaburan anda, teruskan membaca artikel ini.

“Berapakah jumlah wang dan kerugian yang mampu saya tanggung?”

Ini adalah soalan yang perlu ditanya oleh setiap pelabur sebelum melabur. Mengapa? Ini adalah kerana keputusan untuk melabur membabitkan pengambilan risiko dan anda berkemungkinan kehilangan sebahagian atau kesemua wang yang anda laburkan.

Sebenarnya, produk pelaburan yang berbeza mempunyai tahap risiko yang berbeza. Hakikatnya mudah sahaja – lebih tinggi potensi ganjaran yang ditawarkan oleh sesuatu produk pelaburan, maka lebih tinggilah pula risikonya. Sebaliknya, jika risiko bagi sesuatu produk pelaburan itu rendah, maka ganjarannya juga rendah.

“Tetapi, bolehkah saya melabur tanpa mengalami sebarang kerugian? “

Jawapannya mudah – TIDAK Boleh. Ini kerana, apa pun yang anda lakukan dengan wang anda, anda tetap terdedah kepada risiko. Anda boleh menyimpan wang di bawah tilam tetapi risikonya ialah anda mungkin kehilangan wang itu jika berlalu kebakaran atau kecurian. Jika anda menyimpan wang dalam bank, kadar faedahnya mungkin tidak cukup tinggi untuk menampung kadar inflasi dan ini menyebabkan kuasa beli anda semakin berkurangan pada masa akan datang. Jika anda melaburkan wang dalam sesuatu produk pelaburan pula, anda berhadapan dengan pelbagai risiko pelaburan yang berkaitan dengan produk tersebut.

Menangani risiko pelaburan

Sebagai pelabur, anda tidak boleh menghapuskan terus risiko. Walau bagaimanapun, risiko pelaburan tidaklah seteruk mana sekiranya anda tahu menanganinya supaya risiko itu boleh membawa kebaikan kepada anda. Langkah pertama ialah menentukan berapa banyak risiko yang anda mampu hadapi. Membuat keputusan pelaburan berpandukan pelaburan yang telah dibuat oleh rakan-rakan atau saudara-mara bukanlah cara yang baik untuk menguruskan risiko. Ini kerana, setiap individu mempunyai kesediaan menghadapi tahap risiko yang berbeza. Ada yang bersedia mengalami kerugian yang lebih banyak berbanding anda. Untuk mengetahui berapa banyak risiko yang anda mampu hadapi, ikutilah petua mudah ini:

Jika anda tidur tak lena dan mandi tak basah selepas membeli sesuatu produk pelaburan maknanya pelaburan itu terlalu berisiko untuk anda.

Satu cara lagi untuk menangani risiko ialah melalui teknik “pempelbagaian” atau diversification. Ia bermaksud anda tidak seharusnya melaburkan semua wang anda dalam satu produk pelaburan sahaja. Anda perlu mempelbagaikan pilihan produk-produk pelaburan anda. Jika anda melaburkan semua wang dalam satu jenis pelaburan sahaja (contohnya saham), anda boleh kehilangan semua wang itu jika nilai saham itu jatuh. Bagi meminimumkan risiko pelaburan, sebaik-baiknya ialah dengan mempelbagaikan produk pelaburan anda iaitu dengan melaburkan duit anda dalam beberapa produk pelaburan, contohnya, dalam saham, deposit tetap, dana unit amanah atau hartanah.

Pempelbagaian bertujuan untuk mencampurkan pelaburan yang berisiko tinggi dengan pelaburan yang berisiko rendah supaya kerugian dalam sesuatu pelaburan yang tidak membawa keuntungan dapat ditampung oleh keuntungan daripada pelaburan yang lain. Katakan anda melabur dalam saham, unit amanah dan hartanah. Sekiranya pelaburan dalam saham anda mendatangkan kerugian, dengan pempelbagaian anda mungkin dapat menampung kerugian tadi dengan mengaut keuntungan daripada pelaburan unit amanah dan hartanah. Oleh itu, bukan sahaja anda dapat meminimumkan risiko pelaburan anda tetapi pada masa yang sama, anda juga dapat memaksimumkan purata pulangan daripada pelaburan tersebut.

Walau bagaimanapun, jangan pula mempelbagaikan pelaburan secara keterlaluan kerana melaburkan terlalu sedikit wang dalam sesuatu pelaburan boleh mengurangkan pulangan daripada pelaburan itu.

Menguji ketahanan anda terhadap risiko

Setiap orang mempunyai ketahanan yang berbeza terhadap risiko. Sesetengah pelabur tahan menghadapi risiko pelaburan yang tinggi, manakala sebahagian yang lain tidak mempunyai ketahanan yang sama. Ketahanan seseorang terhadap risiko mungkin berubah mengikut peringkat kehidupannya. Mereka yang bersedia mengambil risiko pelaburan yang tinggi ketika muda dan bujang, mungkin kurang bersedia menghadapi risiko yang sama setelah berusia dan mempunyai keluarga. Bagi menentukan ketahanan anda terhadap risiko, tanya diri anda sendiri beberapa soalan mudah yang berikut:

Siapakah anda?

a) Saya dalam pertengahan umur dan hampir bersara

b) Saya masih muda dan perjalanan hidup saya masih jauh


Berapa banyak wang simpanan yang anda ada?

a) Pendapatan saya hanya cuma cukup untuk membayar bil dan tinggal sedikit baki untuk disimpan

b) Saya mempunyai sejumlah wang yang agak banyak untuk disimpan setiap bulan


Apakah komitmen kewangan yang anda ada?

a) Saya mempunyai senarai komitmen yang panjang

b) Saya tidak mempunyai banyak komitmen


Berapa lama anda boleh membiarkan sesuatu pelaburan?

a) Saya boleh menunggu asalkan pelaburan itu memberikan keuntungan yang baik dan berterusan

b) Saya mahu mendapat keuntungan secepat mungkin


Apakah yang anda harapkan apabila anda berhenti melabur?

a) Saya mahu sekurang-kurangnya jumlah yang sama yang telah saya laburkan

b) Saya mahu keuntungan sebanyak mana yang boleh

Jika kebanyakan jawapan anda ialah A, pelaburan yang berisiko tinggi mungkin tidak sesuai untuk anda. Anda lebih sesuai melabur dalam produk yang boleh memberikan pulangan yang munasabah dan berterusan, dan pada masa yang sama, memelihara modal asal anda.

Jika kebanyakan jawapan anda ialah B, anda mungkin boleh menghadapi pelaburan yang berisiko tinggi. Walau bagaimanapun, keupayaan menangani risiko sahaja tidak mencukupi. Anda juga perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai pelaburan dan mengawasi pelaburan anda. Elakkan diri daripada terperangkap dalam usaha untuk mendapat keuntungan cepat tanpa mengetahui risiko yang bakal dihadapi!



(Artikel ini dipeti dari Pelabur Malaysia)


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...