Wednesday, July 13, 2011

Prinsip melabur untuk persaraan



Menjalani kehidupan di usia emas dan bersara merupakan satu lagi fasa kehidupan yang perlu ditempuh. Justeru, persoalan berlegar-legar di fikiran apakah kaedah sesuai bagi terus menjana pendapatan?

Beberapa prinsip dalam pelaburan perlu dipandang serius sebelum anda merancang untuk membuat persediaan persaraan.

Pertama - sentiasa bersedia menghadapi perkara luar jangka. Ini kerana semasa bekerja anda mempunyai aliran pendapatan tetap untuk melunaskan keperluan kewangan di luar jangkaan, namun ia sebaliknya selepas bersara.

Kedua - sesuaikan perubahan pendapatan anda. Buat sasaran jumlah perbelanjaan selepas bersara.

Ketiga - bina aliran pendapatan berterusan. Hal ini penting bagi memastikan anda mempunyai sumber pendapatan sepanjang hidup.

Dari konsep kewangan, persaraan memerlukan anda merancang lebih teliti tentang pengumpulan aset. Perlu diingat, anda perlu mengurus kewangan untuk tempoh 20 ke 30 tahun akan datang!

Paling penting, melabur dalam instrumen yang sesuai. Justeru, ambil kira keperluan dan matlamat jangka panjang sebelum melabur.

Langkah seterusnya, ketahui dan fahami tempoh masa sesuai untuk menjual balik atau menukarkan pelaburan dalam bentuk tunai bagi memenuhi keperluan anda. Lazimnya, pelabur cenderung menjual saham berisiko tinggi apabila memasuki usia persaraan.

Pastikan anda membuat kajian dan anggaran secara teliti dan berkesan. Ambil kira kesan cukai ke atas pelaburan anda dan pastikan anda mengoptimumkan manfaat rebat cukai yang layak. Kesimpulannya, pelaburan perlu dirancang dengan teliti untuk mendapat hasil dan pulangan terbaik.

Usia muda adalah masa terbaik untuk mula merancang persaraan anda.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...