Friday, June 22, 2012

Ubah Gaya Hidup, Elak Jadi Miskin Selepas Bersara

 

KOTA KINABALU 22 April - Sikap boros berbelanja merupakan faktor kritikal yang menyebabkan kebanyakan rakyat di negara ini jatuh miskin selepas bersara.

Sehubungan itu, Pengurus Besar Tune Ins Holdings Sdn. Bhd., K. Sasitharan berkata, cadangan melanjutkan usia persaraan kepada 60 tahun bukanlah satu jaminan yang dapat mengelakkan rakyat negara ini daripada mengalami sindrom miskin selepas bersara.

"Wang simpanan RM1 juta atau RM2 juta bukan satu nilai selamat seandainya amalan boros diteruskan semasa usia persaraan.

"Bagaimanapun, sekiranya anda memiliki simpanan kurang daripada RM1 juta tetapi hidup dengan cukup sederhana dan berhemah, wang yang dimiliki mampu bertahan," katanya ketika ditemui pada Seminar Khas Kewangan anjuran Amanah Saham Nasional Bhd. sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012, di sini hari ini.

Kata beliau, sebagai langkah awal dan berhati-hati, rakyat Malaysia perlu bersedia dan berani melakukan perubahan gaya hidup kepada lebih sederhana menjelang peningkatan usia.

Sasitharan berkata, dalam kajian dan pemerhatian yang dijalankan, didapati sebahagian besar pekerja di negara ini, sama ada yang berpendapatan sederhana atau tinggi, tidak berupaya mengubah kehidupan mereka kepada lebih sederhana ketika usia kian meningkat.

"Masalah ini adalah kritikal dan ia hanya boleh diatasi dengan mengubah kehidupan lebih sederhana," katanya.

Beliau mengakui, bukan mudah untuk menukar gaya hidup tetapi ia perlu dilakukan dengan inisiatif sendiri dan dilakukan secara holistik.

"Tiada siapa boleh mengawal diri sendiri daripada berbelanja besar, jadi sikap boros ini adalah masalah individu dan hanya diri sendiri mampu menyelesaikannya," katanya.

Menurutnya, peningkatan gaya hidup mengakibatkan rakyat negara ini begitu berani berbelanja besar tanpa berasa bimbang terhadap kedudukan kewangan semasa dan akan datang.

"Rakyat kita semakin boros berbelanja, tidak cukup duit, mereka guna pula kad kredit, cara perbelanjaan ini memang menakutkan, tetapi bolehkah amalan tersebut diteruskan ketika usia semakin bertambah?," soalnya.

Justeru, Sasitharan berkata, jurang cukup besar antara perbezaan gaya hidup dan nilai wang yang ada perlu diatasi segera melalui pendidikan dalam perancangan kewangan dan psikologi.

"Ini penting bukan sahaja untuk mengelakkan rakyat semakin miskin apabila tua tetapi ia juga boleh menjejaskan visi untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya.


Dipetik dari Berita Utusan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...